Erry Putra Akui Intim Dengan Adline



PELAKON Erry Putra kini sedang melalui saat-saat bahagia dalam hidupnya. Pelakon siri Si Capik itu dikhabarkan intim dengan seorang pelakon baru yang juga artis residen MIG, Adline.

Erry dan Adline yang ditemui di pasca-parti Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24), baru-baru ini, kelihatan begitu mesra dan intim antara satu sama lain. Melihatkan keintiman mereka, mStar Online lantas menghubungi Erry untuk mendengar cerita sebenar daripada mulutnya sendiri.

Ketika dihubungi, Erry mengakui sedang berkawan dengan pelakon baru itu. Dia yang mula mengenali Adline sejak bulan Ramadhan yang lalu, menjadi semakin rapat kerana merasakan ada keserasian antara mereka.

"Saya mula-mula mengenalinya pada bulan puasa tahun lalu. Ketika itu saya terlibat dengan penggambaran drama E-Toyol di bawah produksi MIG.

"Saya dikenalkan kepada Adline yang kebetulan artis MIG, menerusi seorang rakan artis, Yana. Saya mula tertarik dengannya dan ketika akhir Ramadhan lalu saya mula meminta nombor telefonnya.

"Dari situlah kami semakin kerap berhubung dan menjadi lebih rapat. Hubungan kami menjadi lebih rapat selepas Aidilfitri tahun lalu," kata Erry dengan selamba.

Ditanya apakah ciri-ciri yang membuatkannya terpikat pada Adline, Erry berkata, pelakon filem Senario 2: The Beach Boys itu amat memahaminya dan menghormati kerjaya Erry sebagai pelakon.

"Terus terang saya katakan, saya selesa berkawan dengan Adline kerana dia seorang gadis yang sangat memahami.

"Sebagai pelakon, kita berjumpa dan bergaul dengan ramai orang dan waktu kerja juga tidak menentu dan dia memahaminya.

"Adline juga bukan seorang yang cemburu buta. Malah, dia juga tidak membataskan saya berkawan dengan sesiapa saja asalkan saya sendiri tahu batasannya.

"Kalau hendak kata kami bercinta, mungkin masih terlalu awal sebab kami tidak pernah luahkan kata-kata cinta antara satu sama lain.

"Saya sendiri pun masih berusaha untuk menyelami hati budinya. Cuma perasaan sayang itu memang ada dan kami mengetahui perasaan suka dan sayang antara satu sama lain.

"Hubungan ini boleh dianggap sebagai hubungan terbuka. Kami bebas untuk keluar dan berkawan dengan sesiapa saja, cuma masing-masing perlu tahu batasannya.

"Apa yang paling penting ialah bersikap jujur antara satu sama lain. Dia memahami perkara itu dan percayakan saya. Itu yang membuatkan saya senang berkawan dengannya," cerita Erry panjang lebar mengenai hubungannya itu.

Ujar Erry lagi, memandangkan dia dan Adline terlibat dalam bidang seni, perkara itu sedikit sebanyak membina keserasian antara mereka dan saling memahami tentang asam garam bergelar anak seni.

0 comments:

GotZip

Click Here for Free Traffic!
Click Here for your Free Traffic!
hostgator promo codes