Saya Dan Linda Bukan Berkomplot - Scha
by Abdul Hamid Lembah Bujang
BUKAN niatnya untuk memanjangkan kisah di sebalik perpisahannya dengan aktor Fahrin Ahmad tidak lama dulu. Namun, bagi Scha Al-Yahya, dia sudah tidak sanggup memendam rasa mendengar pelbagai tuduhan dilemparkan pada dirinya.
Bukan dirinya dulu yang membuka mulut bercerita tentang perpisahan itu, tetapi setelah melihat 'pihak' di sana mengeluarkan kenyataan yang membuatkan banyak pihak mula memandang serong terhadap dirinya, Scha tidak mahu lagi berdiam diri.
Lantas, pelakon berusia 26 tahun ini mencurahkan isi hatinya yang terbuku selama ini dalam sebuah akhbar minggu lalu. Dalam artikel tersebut, Scha mendedahkan dirinya memutuskan hubungan cinta dengan Fahrin disebabkan oleh sikap aktor itu sendiri.
Namun, pada masa yang sama, dia tidak menolak sikap panas barannya dan Fahrin membuatkan hubungan tersebut semakin sukar untuk diteruskan. Walaupun Scha tidak menjelaskan secara lanjut tentang perkara itu, ia telah mengundang pelbagai spekulasi sehingga ada yang mengatakan Fahrin pernah mengasari gadis itu.
Apa yang diluahkan oleh Scha itu, 'dijawab' semula oleh Fahrin. Pelakon itu menyelar kenyataan balas Scha dan menyangkal dakwaan yang dibuat oleh pelakon Awan Dania itu yang dilihat telah mencalarkan nama baiknya.
Malah, Fahrin juga turut menyentuh tentang persahabatan yang baru terjalin antara dua bekas kekasihnya, Linda Onn dan Scha. Bagi Fahrin, biarlah persahabatan itu wujud secara ikhlas dan bukan untuk mencari keburukan orang lain.
Cuba menyelami hati Scha tentang persahabatannya dengan penyampai baru Suria FM itu, kata pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, hubungan persahabatan itu terjalin bukan atas dasar untuk 'berkomplot' mengenakan mana-mana pihak.
Ujar Scha, dia sendiri pada awalnya tidak menyangka akan berkawan rapat dengan Linda, apatah lagi mereka sebelum ini dikatakan 'dingin' terutamanya setelah Linda dikatakan enggan bergambar bersama Scha.
"Dari dulu lagi, saya tidak pernah ada apa-apa masalah dengan Linda. Linda sendiri akhirnya berterus-terang pada saya, dia enggan bergambar dengan saya dulu kerana dia tidak mahu dikaitkan lagi dengan 'orang' itu.
"Setelah saya tidak lagi bersama Fahrin, baru dia berani untuk berkawan dengan saya. Ya, kami mungkin mengalami pengalaman yang sama dan disebabkan itu kami jadi rapat, tetapi bagi pihak saya, persahabatan yang terjalin ini adalah ikhlas.
"Saya dan Linda bukan berkomplot. Dia (Fahrin) tidak perlu paranoid dengan persahabatan saya dan Linda. Sepatutnya, dia tidak perlu ambil tahu pun sama ada hubungan kami ini ikhlas atau tidak," tegas anak kedua daripada empat beradik ini.
Mengulas lanjut tentang persahabatannya dengan Linda, kata Scha, mula berkawan dengan penyampai radio popular itu setelah diperkenalkan oleh pengacara dan teman rapatnya, Awal Ashaari. Sejak itu, mereka sering keluar bertiga melakukan pelbagai aktiviti bersama.
"Saya tahu Awal memang rapat dengan Linda. Saya minta BlackBerry PIN (BB PIN) Linda daripada Awal kerana saya memang ingin mengumpul BB PIN rakan artis untuk senang berbual. Selepas itu kami mula rapat dan saya terkejut tengok dia seorang yang cukup 'gila-gila'.
"Sejak dua minggu lalu, memang kami sering keluar bertiga dan adakalanya bersama teman-teman yang lain. Jika saya selesai penggambaran, selalu juga kami keluar 'lepak'," kata Scha.
'Siapa yang bercakap dulu tentang perkara ini?'
Ditanya pula tentang kenyataan balas Fahrin mengenai kisah putus cinta mereka itu, ujar Scha, dia sendiri sebenarnya sudah tidak mahu untuk menjawab lebih tentang perkara itu, tetapi dia hanya ingin 'membetulkan' apa yang diperkatakan oleh Fahrin dalam sebuah akhbar semalam.
"Siapa yang bercakap dulu tentang perkara ini pada awalnya? Dia yang keluarkan kenyataan pada wartawan dan dua tiga akhbar siarkan serentak. Saya amat tertekan pada ketika itu. Selepas berbulan-bulan hubungan kami berakhir, mengapa dia mengungkit semula kisah itu dan 'menarik' Awal pula dalam cerita tersebut?
"Dia yang bercakap dulu sebelum ini, saya hanya berdiam diri saja. Siapa yang memanjangkan cerita dan menuduh saya curang lah...Saya rasa ia keterlaluan sehingga orang menuduh saya bukan-bukan. Dan bila berlakunya insiden saya dan Awal ditahan di pusat hiburan baru-baru ini, lagi orang nampak saya bersalah dan makin rancak orang bercakap.
"Saya mengaku dalam hubungan kami dulu, saya juga ada buat silap. Dalam kenyataan saya tempoh hari, saya cakap saya ambil bahagian kesilapan saya dan dia juga kenalah ambil bahagian dia," kata Scha.
Dalam pada itu, ditanya pula tentang penerimaan peminat-peminatnya setelah dia terbabit dengan kes serbuan di sebuah pusat hiburan itu, ujar Scha, dia sendiri tidak tahu bagaimana reaksi mereka kini.
"Tapi saya tidak nafikan, ada juga yang memandang serong. Bagi saya, benda itu saya kena terimalah sebab ia adalah kesalahan saya sendiri. Apa yang penting, saya belajar dari kesilapan dan berharap, semua pihak memaafkan saya," katanya dalam nada tenang.
1 comments:
Post a Comment